Wednesday 12 July 2017

sampai bila-bila

Saban hari, aku dihenyak rasa. Dua persoalan yang aku tak akan pernah temu jawapannya.
“Do you think we could make it?”
“We’ll try”

Apa perlu aku tunggu? Atau perlu aku pergi? Setiap kali kita bersama, aku ajukan soalan ini pada diri aku sendiri. Apa perlu aku tunggu? Aku mahu tunggu kamu, kerna aku mahukan kamu. Aku perlukan kamu. Atau perlu aku pergi? Jika aku pergi, mungkin aku temu bahagia diluar sana. Mungkin aku temu cinta yang aku cari selama ini.

“Percayalah, setiap kali jemari kita mula menulis, semuanya tentang kamu.”

Percayalah, percayalah.

Hari ini aku suarakan apa yang aku rasa. Apa yang aku pendam di dasar paling dalam. Hati aku makin parah. Aku mula menganggap kamu sebahagian dari aku. Entah sejak dari bila, aku lupa. Aku mahu kamu sepenuh ragaku. Aku mahu kamu mahukan aku sepenuh ragamu.

“kamu egois. Kamu hanya fikirkan tentangmu, tentang dia. Kamu tidak mahu terus peduli sama perasaan aku. Aku dipijak, dihenyak. Hati aku dironyok, langsung dibuang ke laut dalam. Sama dalam dengan apa yang aku pendam!”
“terima kasih. Kini kamu juga mula membenci aku. Kerna aku masih belum pernah lepaskan dia, kerna aku masih mahukan dia. Kerna aku jadi bodoh tuli kerna dia.”
“tidak, aku tidak pernah benci. Tidak pernah. Walau sekelumit rasa. Aku sayang sama kamu. Aku mahu kamu. Aku mahu kamu terus. Beri aku sedikit masa. Aku mahu bernafas. Kerna kini, ruang kapilari aku dipenuhi toksin. Tiada oksigen untuk jantung aku terus berdegup. Aku mahu ruang, beri aku bernafas.”


Dalam gelap malam, jalan raya yang hening, sunyi dan sepi. Hanya satu atau dua kereta dan motosikal berdesup laju. Aku tidak pernah hirau akan mereka. Aku mahu tenang. Aku mahukan ketenangan. Hanya yang berlegar di telinga dan minda, suara kamu, senyum kamu, tawa kamu. Keindahakan yang menyakitkan. Tidak pernah aku tenang, padahal keindahan itu sepatutnya menjadi musabab yang utuh untuk aku tersenyum lega. Ia bagai racun yang juga penawar bagi aku. Ia bagai ubat pelali, yang kebasnya hanya dirasa sebentar sahaja, kemudian sakitnya itu, datang kembali. 

Monday 3 July 2017

bukan rasamu.

Pelik. Aturan Tuhan memang pelik. Sejujurnya, aku tertunggu-tunggu apa pengakhiran cerita ini. Tapi apa yang pasti akan terjadi, mati.

Pertemuan yang tak pernah aku sangka.
“Kita berbeda, bukan? Dunia saya dan kau amat berbeda. Jika kau pilih putih, jawapan saya, hitam. Jika kau pilih yang kanan, pilihan saya adalah kiri. Begitu berbedanya kita.”
“Iya,” anggukmu perlahan. “Kita sangat berbeda. Namun tidakkah kau fikir bahawa perbedaan itu kadangkala menyeronokkan?”
“Mungkin juga. Mungkin perbedaan itu menjadikan kita lebih saling kenal, bukan?” tatap mataku terus ke bola matanya.
Dijawab dia dengan anggukkan perlahan.

Aku lebih tahu bahawa dia masih belum bisa melupakan cinta lamanya. Cinta agungnya. Aku tanya diri aku sendiri,
“Apa kamu sudah lepaskan cinta lama kamu? Cinta pertama kamu, cinta yang pernah singgah dalam hidup kamu?”
“Aku sudah lepaskan! Aku sudah… lepaskan. Walau kadang-kadang memori itu saling menyinggah seraya situasi tika itu. Tapi aku tahu bahawa aku tidak lagi cinta. Cinta lama itu telah terhapus. Sepertimana mereka memijak-mijak hatiku, sebegitulah juga aku memijak-mijak cinta lama itu. Aku yakin.” Hati aku berontak.

Aku tidak salahkan dia jika tika tubuh kita bersatu, mungkin sekelip dua, memori mereka datang menerpa. Sejuta kali pun aku cuba menyangkal, seribu kali pun aku menidakkan, aku terima kenyataan itu. Kenyataan yang perit umpama obat pahit yang harus aku telan, dan dibiar terus ia menyusuri nadi-nadiku, bersatu dalam darahku. ‘Lama-kelamaan, tubuhku sudah terbiasa dengan toksin itu.’ Bisik hatiku pada mindaku.

Maaf, diri. Aku menyeksamu. Sabar wahai hati. Mentari akan tetap menyinari sebaik sahaja tamat musim tengkujuh. Kamu akan temu bahagiamu. Sementara itu, bersedihlah, tangisilah hati yang kian parah.