Sunday 19 February 2017

Kisah aku dan Si Buta

Telah ditetapkan jodoh aku dan si buta itu pada jam itu, pada waktu itu.

Sebaik sahaja kaki kanan aku melangkah keluar dari gerabak kereta api kota,
Mata aku terus melekat pada si buta dengan tongkatnya. 
Pandangan aku mula kosong.

'Ah, apa dia tahu bau jalannya?' Aku teruskan langkahku lambat-lambat. Sambil itu, aku toleh ke kiri dan ke kanan. Anak mata aku mencari si buta itu.

Pura-pura melihat manusia di sekeliling yang kelam-kabut merentas masa. Takut-takut sampai rumah lambat pula. Namun dalam fikiran aku, masih terpaku pada si buta. Aku biar dia jalan di hadapan aku. Fikir aku, aku mahu belajar sesuatu dari si buta yang istimewa.

Sekejap tongkatnya dihentak perlahan di atas jalan, sekejap lagi, tongkatnya dihentak perlahan ke dinding kiri. Perhatian dan jiwa aku, antara separuh atau lebih, aku curahkan kepada si buta. 

Bagaimana si buta itu mahir jalannya, mahir pula cari liku dan tangga. Aku seluk tangan dalam saku sengaja bunyikan syiling. Biar si buta tahu, dia tidak keseorangan. 

Kalau mata aku ditutup, dari kamar tidur sampai dapur, separuh jalan sudah aku langgar semua dinding. 

Ah, Tuhan itu Maha Hebat. Dikurangkan satu deria, diberi kelebihan yang lain. Hanya Dia dan si buta sahaja yang tahu kerana, Tuhan buat aku terlalu sempurna untuk aku rasakan ketidaksempurnaan itu. 

Tapi, aku sadar. Ketidaksempurnaan itu lebih sempurna dari aku yang cukup segala tapi sentiasa lupa kebesaranNya. Aku terlalu sempurna untuk merasakan indahnya sesebuah kegelapan. Mungkin Tuhan kurniakan, dalam kegelapan itu ada taman bunga seindah syurga. 
Sesungguhnya, Tuhanku Maha Adil. 

Alhamdulillah atas segala kurniaan.

Tanpa sedar, air mata mengalir sepanjang aku pulang dari kerja.

No comments:

Post a Comment